BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, May 21, 2010

About Qarin

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia.
Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia yang
dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w.
sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah
muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong
dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was,
melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah
ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya
membuat ibadah dan kebaikan.

Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat.
Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat
kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat
pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau
bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan
menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya
dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang
pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat
melaksanakan perintah Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas'ud r.a.
maksudnya: "Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin,
dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka bertanya:
"Engkau juga ya Rasulullah." Sabdanya: "Ya aku juga ada,
tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat
kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan
sahaja." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam
Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah
berkata: "Aku merasa cemburu." tiba-tiba Baginda berpatah
balik dan bertanya: "Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah
engkau cemburu?" Aku berkata: "Bagaimana aku tidak
cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.
" Sabda Baginda: "Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?"
Aku bertanya: "Apakah aku ada syaitan?" Sabda Baginda:
"Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin." Aku bertanya lagi:
"Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?" Jawab
Baginda: "Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku
telah masuk Islam." (Riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Aku dilebihkan
daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu
pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku
sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu
akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan
isterinya membantu ia membuat kesalahan." (Riwayat Baihaqi)

Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika
syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan
syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang
mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang
megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa
engkau kurus, "Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku
masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila
minum pun begitu." Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang
kafir itu pula berkata: "Aku sentiasa makan bersama dengannya
dan begitu juga minum."

Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila
manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di
alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya
umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba
hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke
hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan
dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan
manusia.

0 comments: